Sabah akan bincang dengan kerajaan pusat mengenai kerugian akibat banjir


Sabah akan bincang dengan kerajaan pusat mengenai kerugian akibat banjir
Sabah akan bincang dengan kerajaan pusat mengenai kerugian akibat banjir | KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan berbincang dengan kerajaan pusat berhubung peruntukan diperlukan untuk membaiki kerosakan terutama jalan raya akibat banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata menerusi taklimat daripada jabatan dan agensi berkaitan, nilai kerosakan dianggarkan sehingga ratusan juta ringgit.

"Taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), kita memerlukan peruntukan yang besar untuk membaiki jalan raya mencecah berpuluh juta ringgit," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Daerah Penampang di sini, hari ini.

Terdahulu, Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri mendengar taklimat mengenai banjir yang melanda daerah Penampang di Bilik Gerakan Banjir, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta melawat kawasan banjir di Kampung Rampaian, Sepanggar.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Datuk Bandar DBKK, Datuk Abidin Madingkir.

Beberapa kawasan di daerah Penampang, Kota Belud dan Tuaran dilanda banjir selain beberapa kejadian tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat berterusan di negeri ini sejak Ahad lalu.

Musa berkata, kerajaan negeri akan berusaha melakukan penambahbaikan bagi menangani masalah banjir di Sabah meskipun perlu mengambil masa yang lama.

"Kita (kerajaan negeri) akan berbincang dengan kerajaan pusat supaya dapat atasi banjir walau akan mengambil masa lama, apa yang penting kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan untuk membaiki (kerosakan) agar rakyat mendapat pembelaan sepenuhnya," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan penyelarasan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Penampang dan DBKK yang mengambil tindakan dan langkah segera bagi menangani bencana banjir yang melanda.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sedang giat membaiki kerosakan jalan-jalan raya akibat tanah runtuh di kawasan-kawasan terbabit.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, Sukarti selaku pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negeri juga mengarahkan Pegawai Daerah di kawasan berisiko dilanda banjir membuat persediaan bagi menghadapi bencana alam itu.

Menurut laporan cuaca di laman web Jabatan Meteorologi, hujan sekejap-sekejap dan kadang kala lebat terutamanya di kawasan pantai barat Sabah, diramalkan berterusan sehingga Rabu depan. - Sabah akan bincang dengan kerajaan pusat mengenai kerugian akibat banjir

Sumber : Sabah akan bincang dengan kerajaan pusat mengenai kerugian akibat banjir