Polis buru remaja disyaki tembak tingkap pelajar kejururawatan


Polis buru remaja disyaki tembak tingkap pelajar kejururawatan | KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin ke arah kolej kediaman kejururawatan di Luyang, malam tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M Chandra, berkata remaja terbabit dipercayai melepaskan tembakan dari kampung berhampiran kira-kira 7 malam menyebabkan dua lubang kecil pada tingkap kaca dua bilik kolej berkenaan.

Beliau berkata, kesan lubang itu dipercayai akibat bebola besi daripada senapang angin berkenaan.

"Mangsa (pelajar wanita) dikatakan sedang makan malam bersama rakannya di dalam bilik sebelum terdengar letupan kuat dari arah perkampungan (berdekatan kolej).

"Mangsa kemudian mendapati terdapat serpihan kaca di atas lantai berdekatan tingkap dalam bilik itu namun tiada yang cedera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra berkata, motif sebenar kejadian masih disiasat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

Sumber : Polis buru remaja disyaki tembak tingkap pelajar kejururawatan

Polis buru remaja disyaki tembak tingkap pelajar kejururawatan

    ANGGOTA polis ketika membuat siasatan kes tembak oleh sekumpulan
remaja nakal yang bertindak melepaskan beberapa das tembakan
menggunakan senapang angin yang berpelurukan guli
di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Bukit Padang Kota Kinabalu.