Penduduk di pantai barat Sabah diminta berjaga-jaga
Penduduk di pantai barat Sabah diminta berjaga-jaga | KOTA KINABALU: Penduduk beberapa daerah di pantai barat Sabah khususnya Kota Belud dan Penampang, diminta berjaga-jaga berikutan paras sungai di dua daerah berkenaan semakin meningkat, berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Di Kota Belud, Pegawai Daerahnya, Gari Itam, berkata dua kampung sudah dinaiki air iaitu Kampung Suang Punggor dan Marajah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan.
"Setakat jam 11 pagi ini, air Sungai Abai berada pada paras bahaya iaitu 5.6 meter.
"Kita juga sudah membuka pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Tun Said di pekan Kota Belud bagi memindahkan penduduk terbabit," katanya.
Beliau berkata, hujan lebat masih berlaku di daerah berkenaan sekali gus meminta penduduk di kawasan berisiko banjir berhati-hati termasuk berpindah ke tempat selamat.
Sementara itu di Penampang, paras Sungai Moyog mula meningkat sejak awal pagi ini berikutan hujan lebat dengan beberapa kampung di kawasan rendah digenangi banjir sejak jam 9 pagi.
Selasa lalu, Penampang mengalami banjir paling teruk sejak tahun 1999 dengan lebih 100,000 penduduk terjejas, manakala 70 kampung dan kawasan perumahan digenangi banjir. - Penduduk di pantai barat Sabah diminta berjaga-jaga